KESIMPULAN

    Setiap orang mestilah menjaga lidah dan tangannya, sama ada dia berkata atau menulis perkara-perkara kebaikan lalu akan diberi ganjaran atas perbuatan baiknya itu, ataupun dia diam dan meninggalkan perkara-perkara keburukan bagi membendung sebarang fitnah atau aib. Media sosial merupakan platform untuk berkomunikasi, menyebarkan maklumat dan idea, mengekalkan dan memperkukuh jaringan sosial dengan orang ramai. Terdapat pelbagai jenis media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya yang mempunyai fungsi tersendiri.

    Berdasarkan kajian yang dijalankan, media sosial digunakan untuk memudahkan sesuatu komunikasi. Dengan adanya media sosial, segala-galanya berjalan dengan mudah. Bagi urusan rakyat dengan agensi kerajaan, seseorang tidak lagi perlu pergi ke kaunter atau pejabat kerajaan untuk menyelesaikan sesuatu hal berkaitan pembayaran cukai, bil elektrik, bil air dan sebagainya.

    Hal ini demikian kerana dengan wujudnya media sosial dan laman sesawang, seseorang boleh menyelesaikan hal demikian hanya dengan melalui portal yang diwujudkan oleh agensikerajaan. Hal ini sekaligus dapat menjimatkan masa dan memudahkan kerja seseorang tambahan bagi seseorang yang sibuk dengan kerja mereka.

    Selain itu, wujudnya media sosial juga memudahkan kita untuk mendapatkan maklumat terkini dan mendalami ilmu pengetahuan. Pelbagai maklumat diperoleh hanya dengan satu klik. Contohnya, di Twitter, terdapat pelbagai maklumat yang disebarkan oleh pakar dalam bidang masing-masing. Kita juga dapat mempelajari banyak benda daripada ilmu yang. Selain itu, media sosial juga digunakan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan dijadikan medium untuk menyebarkan dakwah dan ideologi.

    Tambahan pula, media sosial memudahkan seseorang untuk berniaga. Melalui media sosial, seseorang tidak perlu mengeluarkan modal yang besar. Seseorang peniaga hanya perlu memuatnaik gambar berkaitan produk yang ingin dijual dan meletakkan ulasan tentang produk tersebut. Bagaimanapun, terdapat beberapa garis panduan yang ditetapkan dalam Islam yang perlu diikuti, antaranya mestilah jujur dan amanah dalam perniagaan, menjual barangan yang berkualiti dan sebagainya.

    Selain itu, media sosial digunakan untuk mencari kenalan baharu mahupun berhubung dengan kenalan yang sudah lama terpisah. Justeru, media sosial memainkan peranan yang penting dalam membantu mengeratkan silatulrahim,memudahkan sesuatu pekerjaan, serta menyebar dan menyampaikan dakwah dan ilmu pengetahuan.


 

No comments:

Post a Comment

Pages